Sebahagian sahabat yang miskin mengadu kepada Nabi صلى الله عليه وسلم tentang keadaan dan kemiskinan mereka, serta ketidakmampuan mereka untuk bersedekah dengan harta bagi memperoleh pahala yang banyak seperti yang diperoleh oleh saudara-saudara mereka yang berharta dan untuk melakukan kebaikan seperti mereka kerana mereka (yang kaya) bersolat sebagaimana kami bersolat, berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka, sedangkan kami tidak mampu bersedekah! Maka Nabi صلى الله عليه وسلم menunjukkan kepada mereka perkara-perkara yang mampu mereka lakukan sebagai sedekah, lalu Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: “Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu untuk kamu bersedekah dengannya ke atas diri kamu sendiri?! Sesungguhnya ucapan kamu ‘Subḥānallāh’ adalah pahala sedekah bagi kamu, begitu juga ucapan ‘Allāhu Akbar’ adalah sedekah, ucapan ‘Alḥamdulillāh’ adalah sedekah, ucapan ‘Lā ilāha illallāh’ adalah sedekah, amar makruf adalah sedekah, nahi mungkar adalah sedekah, bahkan hubungan intim salah seorang daripada kamu dengan isterinya juga adalah sedekah.” Maka mereka pun berasa hairan lalu berkata: “Wahai Rasulullah, adakah apabila seseorang daripada kami memenuhi syahwatnya juga dia akan mendapat pahala daripadanya?!” Baginda bersabda: “Tidakkah kamu melihat jika dia meletakkannya pada yang haram seperti zina atau selainnya, bukankah dia berdosa kerananya? Maka demikian juga apabila dia meletakkannya pada yang halal, dia akan mendapat pahala.”