Ibnu ‘Abbas رضي الله عنه menceritakan bahawa ketika dia masih kecil, dia membonceng di belakang Nabi ﷺ. Baginda bersabda kepadanya: “Aku akan mengajarkanmu perkara-perkara yang akan memberi kebaikan kepadamu: Jagalah Allah dengan menunaikan perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya, sehingga Dia mendapati kamu dalam ketaatan dan amalan-amalan yang mendekatkanmu kepada-Nya, dan Dia tidak menemuimu dalam maksiat dan dosa. Jika engkau melakukan itu, maka balasanmu ialah Allah akan memelihara dirimu daripada segala bahaya dunia dan akhirat, serta menolongmu dalam setiap urusanmu ke mana sahaja engkau bergerak.” Apabila ingin meminta sesuatu, jangan minta kecuali kepada Allah, kerana hanya Dia yang mampu menjawab permintaan para hamba-Nya. Sekiranya engkau ingin meminta pertolongan, janganlah meminta pertolongan melainkan kepada Allah. Hendaklah kamu yakin bahawa kamu tidak akan memperoleh sebarang manfaat walaupun seluruh penduduk bumi berkumpul untuk memberimu manfaat, melainkan apa yang Allah telah tetapkan untukmu. Begitu juga, kamu tidak akan ditimpa sebarang bahaya walaupun seluruh penduduk bumi berkumpul untuk mencelakakanmu, melainkan apa yang Allah telah takdirkan ke atasmu. Ketahuilah bahawa perkara ini telah ditulis dan ditakdirkan oleh Allah menurut hikmah dan ilmu-Nya, dan tiada yang dapat mengubah apa yang Allah telah tetapkan. Sesiapa yang memelihara Allah dengan menunaikan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, maka Allah Subhanahu wa Ta‘ala sentiasa di hadapan hamba-Nya, mengetahui keadaannya, menolongnya dan memberi pertolongan kepadanya. Dan bahawa jika seseorang itu taat kepada Allah ketika dalam kesenangan, maka Allah akan memudahkan jalan keluar dan pertolongan baginya ketika dalam kesempitan. Setiap hamba hendaklah reda dengan apa yang ditetapkan Allah ke atasnya, sama ada baik atau buruk. Dalam menghadapi kesusahan dan ujian, hamba mesti bersabar, kerana sabar itu kunci kepada pertolongan. Apabila kesusahan bertambah berat, pertolongan datang daripada Allah, dan apabila kesulitan berlaku, Allah mengakhirinya dengan kemudahan.