Nabi ﷺ menjelaskan satu kaedah umum mengenai sesuatu perkara, bahawa dalam syariat ia terbahagi kepada tiga kategori: perkara yang jelas halal, perkara yang jelas haram, dan perkara-perkara yang meragukan (syubhah) yang tidak jelas hukumnya dari sudut halal atau haramnya, yang mana ramai orang tidak mengetahui hukumnya. Maka sesiapa yang meninggalkan perkara-perkara yang meragukan untuknya maka agamanya akan selamat kerana menjauhi diri daripada terjerumus ke dalam perkara haram, dan maruahnya juga akan terpelihara daripada celaan manusia disebabkan perbuatannya terhadap perkara yang meragukan itu. Dan sesiapa yang tidak menjauhi perkara-perkara syubhah, dia telah mendedahkan dirinya sama ada kepada dosa kerana terjatuh ke dalam perkara haram atau kepada celaan manusia terhadap maruahnya. Rasulullah ﷺ memberikan satu perumpamaan untuk menjelaskan keadaan orang yang melakukan perkara syubhah bahawa ia seperti seorang pengembala yang mengembala ternakannya berhampiran kawasan larangan milik seorang pemilik tanah, sehingga hampir-hampir ternakannya memasuki kawasan tersebut kerana terlalu dekat dengannya. Begitu jugalah orang yang melakukan perkara syubhah, dia telah mendekatkan dirinya dengan perkara haram sehingga hampir-hampir terjatuh ke dalamnya. Setelah itu, Nabi ﷺ memberitahu bahawa di dalam tubuh manusia terdapat seketul daging, iaitu hati. Apabila hati itu baik, baiklah seluruh tubuh dan apabila ia rosak, rosaklah seluruh tubuh.