Umar bin al-Khattab رضي الله عنه menceritakan bahawa Jibril عليه السلام datang kepada para sahabat رضي الله عنهم dalam rupa seorang lelaki yang tidak dikenali. Antara sifatnya ialah pakaiannya yang sangat putih dan rambutnya yang sangat hitam. Tidak kelihatan padanya tanda-tanda permusafiran seperti kepenatan, debu, rambut kusut atau pakaian yang kotor, dan tiada seorang pun daripada mereka mengenalinya. Ketika itu mereka sedang duduk bersama Nabi صلى الله عليه وسلم. Lalu dia duduk di hadapan Nabi صلى الله عليه وسلم sebagaimana duduk seorang penuntut ilmu, lalu dia bertanya baginda tentang Islam. Nabi صلى الله عليه وسلم menjawab dengan menyebut rukun-rukunnya yang merangkumi pengakuan dua kalimah syahadah, menjaga solat lima waktu, menunaikan zakat kepada yang berhak, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan ibadah haji bagi yang berkemampuan. Lelaki itu berkata: “Benar.” Para sahabat pun berasa hairan kerana dia bertanya seolah-olah tidak mengetahui, namun kemudian dia sendiri membenarkan jawapan tersebut. Kemudian lelaki itu bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم tentang iman. Baginda menjawab dengan menyebut enam rukun iman yang merangkumi keimanan kepada kewujudan Allah ﷻ dan sifat-sifat-Nya, mengesakan-Nya dalam perbuatan-Nya seperti mencipta dan mengesakan-Nya dalam ibadah; beriman kepada para malaikat yang diciptakan oleh Allah daripada cahaya, yang merupakan hamba-hamba-Nya yang dimuliakan, tidak menderhakai-Nya dan sentiasa melaksanakan perintah-Nya; beriman kepada kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah kepada para rasul-Nya, seperti al-Quran, Taurat, Injil dan lain-lain; beriman kepada para rasul yang diutus untuk menyampaikan agama Allah, antaranya Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan yang terakhir Muhammad صلى الله عليهم وسلم serta nabi dan rasul yang lain; beriman kepada hari akhirat, yang merangkumi peristiwa selepas kematian seperti alam kubur dan kehidupan barzakh, bahawa manusia akan dibangkitkan selepas mati dan dihisab, lalu ditentukan tempatnya sama ada di syurga atau di neraka dan beriman bahawa Allah telah menetapkan segala sesuatu berdasarkan ilmu-Nya yang terdahulu, mengikut hikmah-Nya, telah ditulis-Nya, dikehendaki-Nya, terjadi seperti yang telah ditetapkan dan Dialah yang menciptakannya. Kemudian lelaki itu bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم tentang ihsan. Baginda menjelaskan bahawa ihsan ialah beribadah kepada Allah seolah-olah seseorang itu melihat-Nya. Jika dia tidak mencapai kedudukan tersebut, maka hendaklah dia beribadah kepada Allah (dengan penuh kesedaran) bahawa Allah sentiasa melihatnya. Kedudukan yang pertama dinamakan martabat musyahadah, iaitu martabat yang paling tinggi, manakala yang kedua dinamakan martabat muraqabah. Kemudian lelaki itu bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم: “Bilakah berlaku hari kiamat?” Maka Baginda menjelaskan bahawa pengetahuan tentang waktu berlakunya kiamat adalah daripada perkara ghaib yang hanya Allah mengetahuinya. Tiada seorang pun dalam kalangan makhluk yang mengetahuinya, sama ada yang ditanya mahupun yang bertanya. Setelah itu lelaki itu bertanya tentang tanda-tanda kiamat? Nabi صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa antara tanda-tandanya ialah banyaknya hamba perempuan dan anak-anak mereka, atau banyaknya anak yang menderhakai ibu mereka sehingga memperlakukan mereka seperti hamba. Selain itu, para pengembala kambing dan golongan fakir miskin akan diberikan keluasan dunia pada akhir zaman, lalu mereka berbangga-bangga dalam menghias dan membina bangunan yang megah. Akhirnya Nabi صلى الله عليه وسلم memberitahu bahawa lelaki yang bertanya itu ialah Malaikat Jibril عليه السلام yang datang untuk mengajar para sahabat رضي الله عنهم tentang agama Islam yang suci ini.