Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa kesucian zahir diperoleh melalui wuduk dan mandi. Ia merupakan syarat sah solat. Ucapan: “Alhamdulillah memenuhi timbangan” ialah pujian kepada-Nya SWT, dengan menyifatkan-Nya dengan sifat-sifat kesempurnaan, yang akan ditimbang pada hari kiamat dan memenuhi timbangan amal. Ucapan: “Subhanallah dan Alhamdulillah” ialah mensucikan-Nya daripada segala kekurangan dan menyifatkan-Nya dengan kesempurnaan mutlak yang sesuai dengan keagungan-Nya, disertai dengan kecintaan dan pengagungan terhadap-Nya, yang memenuhi antara langit dan bumi. "Solat itu cahaya” bagi hamba (yang terpancar) di dalam hatinya, wajahnya, kuburnya dan ketika dibangkitkan pada hari kiamat. “Sedekah itu bukti” menunjukkan keikhlasan iman seorang mukmin, berbeza dengan munafik yang menahan diri daripadanya kerana tidak mempercayai janji ganjarannya. “Kesabaran itu sinar” iaitu menahan diri daripada keluh kesah dan rasa kecewa merupakan cahaya yang menghasilkan kehangatan dan pembakaran, seperti cahaya matahari; kerana ia berat dan memerlukan perjuangan menundukkan nafsu daripada apa yang diingininya. Pemiliknya sentiasa diterangi cahaya, mendapat petunjuk dan terus berada di jalan yang benar. Kesabaran ini termasuk kesabaran dalam mentaati Allah, meninggalkan maksiat, serta bersabar menghadapi musibah dan pelbagai kesusahan di dunia. “Al-Quran menjadi pembela” melalui pembacaan dan pengamalannya, atau "menjadi pendakwa" jika ditinggalkan tanpa membaca atau mengamalkannya. Kemudian Rasulullah صلى الله عليه وسلم memberitahu bahawa semua manusia bangun, bergerak, tidak tidur dan keluar dari rumah-rumah mereka untuk melakukan pelbagai pekerjaan. Terdapat di antara mereka yang istiqamah dalam ketaatan kepada Allah maka dia membebaskan dirinya daripada api neraka dan ada pula yang menyimpang serta melakukan maksiat sehingga menjerumuskan dirinya ke dalam neraka.